
ISU:
Bolehkah wanita mewarnakan rambutnya dengan warna seperti merah atau
oren. Adakah sah mandi wajib wanita yang mewarnakan rambutnya?
PENJELASAN:
Mewarnakan rambut kebiasaannya dilakukan sama ada untuk menutupi uban di kepala ataupun semata-mata untuk kecantikan.
Bagi kedua-dua tujuan tersebut, hukum asal mewarnakan rambut sama ada
dengan inai atau lain-lain bahan adalah harus selagi mana
perkara-perkara berikut dijaga:
-
Tidak menyerupai wanita-wanita bukan Islam. Sekiranya suatu warna,
fesyen warna, gaya warna, ataupun bahan pewarna itu kebiasaannya hanya
digunakan oleh golongan bukan Islam, di mana jika seseorang Muslimah
memakainya dia akan kelihatan seperti wanita bukan Islam, maka tidak
harus mewarnakan rambut dengan warna, gaya, fesyen atau bahan demikian.
Kerana Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم Maksudnya, “Sesiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk sebahagian daripada mereka”. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, 4/44, no: 4031).
-
Wanita bersuami hendaklah mendapat keizinan suaminya untuk mewarnakan
rambut. Jika suaminya tidak mengizinkan, maka isteri tidak harus
melakukannya.
-
Wanita yang sedang dalam tempoh edah kematian suami tidak diharuskan
mewarnakan rambutnya, kerana mewarnakan rambut termasuk dalam perbuatan
menyerlahkan kecantikan, dan ia dilarang terhadap wanita yang dalam edah
kematian suami.
-
Warna rambut hendaklah selain daripada warna hitam, kerana menutupi
uban dengan warna hitam adalah dilarang oleh Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam. Di dalam satu hadis, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda
kepada Abu Quhafah yang sudah keputihan rambut dan janggutnya, “Ubahlah
ini dengan sesuatu, dan jauhi warna hitam”. (Diriwayatkan oleh Muslim,
3/1663, no: 2102). Dalam mazhab Syafie, mewarnakan rambut dengan hitam
tidak dibenarkan untuk wanita kecuali dengan izin suami.
-
Bahan yang digunakan untuk mewarnakan rambut hendaklah daripada
bahan-bahan yang suci. Maka tidak harus menggunakan bahan najis atau
bercampur dengan bahan najis.
-
Bahan yang digunakan sebagai pewarna hendaklah daripada jenis bahan
yang hanya meninggalkan warna dan bukannya bahan yang melekat dan
melapisi rambut yang boleh menghalang air daripada mengenai anggota
mandi wajib.
- Mewarnakan rambut dilakukan bukan untuk tujuan mendedahkan kecantikannya kepada khalayak yang bukan mahram. Jika tujuan mewarnakan rambut adalah untuk diperlihatkan kepada mereka, maka haram hukumnya. Justeru, wanita yang tidak bertudung di khalayak adalah haram mewarnakan rambut kerana ia adalah maksiat berganda; pertama kerana mendedahkan aurat, dan kedua kerana melakukan tabarruj (berhias-hiasan) di hadapan khalayak ajnabi.
Berkenaan dengan mandi wajib bagi wanita yang mewarnakan rambut, para
ulama bersepakat bahawa kewujudan bahan yang melekat dan melapisi
anggota mandi akan menghalang sahnya mandi wajib. Justeru, perkara ke-6
di atas hendaklah dijaga bagi mengelakkan masalah ketika mandi wajib.
Wallahu A’lam.
0 Response to "Hukum Wanita Mewarnai Rambut "
Post a Comment